Thursday, December 12

Kata-kata Syeikh Mahmud Lanai Kedah

Barangsiapa Tiada Amal, Maka Tiada Ilmunya,
Barangsiapa Tiada Zuhud, Maka Tiada Agamanya,

Sumber
http://www.facebook.com/notes/lanang-jagat/almarhum-paduka-baginda-tok-ayah-sheikh-mahmud-lanai-qedah/166399276717816

Kami bersyukur kehadrat Allah Ta`ala yang telah memberi taufik dan hidayahnya serta azam yang kuat untuk kami menyempurnakan hasrat yang terpendam bagi menyalin semula, akan kata-kata wasiat serta pesanan Allahyarham Ayahanda Tuan Guru Syeikh Mahmud Nasri Osmani, semasa hayatnya dan liku-liku perjalanan Allahyarham semasa hidupnya. Beliau adalah seorang tokoh ulama’ yang sarat dengan ilmu, warak dan tawadhu’. Kisah beliau mendapat perhatian dari seorang tokoh ulama’ yang terkenal pada zaman tersebut, iaitu Tuan Guru Syeikh Othman Jalaluddin, pengasas Madrasah Manabil `Ulum di Penanti, Bukit Mertajam diberi gelaran atau dikenali sebagai Lebai Salam.

Sebaik sahaja Allahyarham kembali ke rahmatullah pada hari Rabu 28 Safar 1400H bersamaan 16 Januari 1980M ketika usianya 81 tahun, kami asyik teringat kepada wasiat dan pesanannya. Katanya, 

“Ketahuilah bahawa punca anak-anak Adam itu jadi sesat dalam Aqidah, Syariat, Akhlak, Pengor-banan Diri dan Harta ialah kerana mereka tiada berusaha duduk di atas noktah, permulaan langkahan di atas ilmu dan amalan hidup mereka mengikut Syariat, Tariqat, Hakikat kaedah asal kejadian manusia sebagai Khalifah ke atas dunia; punca mereka tiada mengenali diri mereka sendiri mengikut asal susunan kedudukan manusia baik dan jahat dalam ilmu dan amal di sisi Allah Ta`ala, serta mereka tiada pula mempusakai ilmu dan amal melalui wasilah dan rabitah dari mereka yang sekira-kira soleh pada babnya”.

Maka ramailah manusia diakhir zaman ini yang mengaku Islam tetapi laksana buih, hanya sedikit yang mengambil pengertian makna makni yang tersurat dan tersirat dari ucapan Dua Kalimah Syahadah itu mengikut aliran fahaman Ahli Sunnah. Maka dengan sebab itu ramai yang tiada dapat beza antara intan dan kaca, lalu berleluasalah kesalahan khurafat menjadi amalan harian, sehingga kerja buat mereka menjadi sia-sia, yang mana jahil tersesat dengan kejahilannya manakala yang berilmu pula tersesat dengan ilmunya.

Sebab itulah bagi orang-orang soleh yang ahli pada babnya, mereka ini asyik berusaha memisahkan hati mereka dengan ilmu supaya tercapai cita-citanya untuk musyahadah akan Allah Ta`ala melalui lidah, anggota dan hati. Serentak dengan itu mereka menyalin pakaian Akidah, Syariat, Akhlak, Pengorbanan Diri dan Harta bercontohkan kepada baginda Nabi Muhammad Rasullullah S.A.W. sepenuhnya. Pada bab ini dinasihatkan supaya setiap murid itu mesti berada di atas aliran kefahaman Ahli Sunnah serta menerima dengan yakin, mewarisi Amalan Kalifah Pusaka Wali Agama Islam.

Dan adalah diharap juga kepada seluruh pembaca dan ulama` yang arif pada babnya hendaklah bersama-sama memperbetul yang tiada betul, mentasheh apa yang tiada soheh samada huruf, kalimah, ayat yang menjadi isi kandungan risalah ini di atas jalan taqwa serta memohon keredhaan Allah S.W.T.

No comments: