Monday, December 9

Benarkah Iktikad Kita?

Dengan Nama Allah Yang Maha Penyayang Lagi Maha Mengasihani


Di dalam menghadapi hari-hari yang berlalu, banyak perbualan mengenai kesesatan dan penyimpangan agama, terutama perbezaan daripada ahli sunnah wal jamaah. Syukur ramai yang mempertahankan Ahli Sunnah Wal Jamaah. 

Namun, setiap fahaman yang berbeza daripada Ahli Sunnah Wal Jamaah, adalah beserta dengan perbahasan ilmu yang tinggi, dan sukar bagi kita yang kurang ilmu ini untuk menilai yang mana benar dan juga tidak. 

Masih segar di dalam ingatan dimana di dalam kitab Sirus Salikin, di awal-awal kitab, ada menyebutkan agar kita sentiasa berwaspada dan takut bahawa apa yang kita iktikad dan faham bersalahan daripada ajaran Rasul. 

Mohon pertolongan Allah menetapkan iman dan keyakinan kita yang benar dan dapat kita mendekatkan kita diri kepada Allah Taala.

Tidaklah disini penulis ingin menghuraikan dan berbahs mengenai iktikad, tetapi supaya kita sama-sama berfikir persoalan untuk diri kita sendiri. 

Bagaimana kita hendak mengetahui iktikad kita di jalan yang benar? 

Sesungguhnya, benarlah Allah Taala itu maha Adil dan meletakkan sesuatu tepat pada tempatnya. Allah telah menjadikan manusia dengan bentuk badan, roh, pendengaran, penglihatan dan hati, seperti yang telah di sampaikan di dalam Surah As-Sajdah, ayat 9

Makna(lebih kurang)
Kemudian di bentukkan(dihiasi) mereka itu, dan telah di tiupkan kepada mereka itu, daripada roh-roh mereka, dan telah dijadikan bagi mereka pendengaran, dan penglihatan dan hati, sedikit daripada mereka yang bersyukur.

Bukan lah penulis disini ingin menghuraikan atau menafsir ayat Al-Quran tersebut, namun semoga kita dapat pengajaran dan ilmu disini, sebagai nasihat daripada agama itu sendiri.

Allah telah menjadikan manusia daripada tanah dan telah membentuk mereka, meniupkan roh. Dengan kejadian ini juga, Allah telah menjadikan juga pendengaran, penglihatan dan hati sebagai alat untuk mendekatkan diri kepada Allah. 

Telah dijadikan pendengaran kepada kita supaya kita dapat mendengar perkhabaran daripada Rasul dan Al-Quran, termasuk juga kata-kata ulamak. Pendengaran disini, ada 2 maksud, iaitu pendengaran jasmani, dan pendengaran rohani. Maka tidak lah dapat dihuraikan makna pendengaran rohani kerana kelemahan penulis.

Dijadikan juga penglihatan kepada kita supaya dapat melihat, berfikir dan belajar daripada Rasul , Al-Quran dan perbuatan ulamak. Sekali lagi, penglihatan disini mempunyai 2 maksud, iaitu penglihatan jasmani dan penglihatan rohani. Maka kelemahan penulis tidak dapat menghuraikan perbahasan mengenai hal ini.

Dan alat yang ketiga, iaitu hati atau ainul basiroh. Dengan alat ini, kita melihat Allah Taala(melalui pandangan hati), keadaan hati kita ini(di dalam gelap atau bersih), dan di berikan ilmu-ilmu yang rahsia pada hati. Namun, ini hanya akan dapat apabila iktikad kita benar pada jalan yang benar dan ikhlas kepada Allah Taala. 

Dari sinilah dapat kita meninjau dan mengambil panduan samada iktikad kita benar, namun hanya Allah menentukan segalanya.  Selalu lah beribadah , bersih hati dan rendah hati supaya kita benar menjadi hamba Allah. Berdoa lah agar dihidayahkan pada hati jalan yang benar, solat istikharah lah sebagai hubungan kita kepada Allah. Bakarlah dengan api kesedihan daripada dosa(taubat), bukalah mata hati dengan berkat dan selawat kepada Rasul Allah.

Namun, tidaklah bermaksud dengan hati itu kita tidak perlu untuk belajar kerana belajar itu meluaskan kefahaman dan jalan hati lebih kuat. Belajar itu memberikan kekuatan dan penjelasan atas apa yang samar pada hati dan akal (atas jalan adat).

Maka, pendengaran, penglihatan dan hati adalah alat yang Allah telah jadikan kepada manusia supaya belajar(mengenali Allah), mengikuti (Nabi dan pewaris Nabi), memikirkan(kebesaran), merasa(keagungan Allah dan ibadah hati yang lain)  dan berhubung terus kepada Allah(munajat, tawajjuh kepada Allah).

Wallahu A'lam.

p/s,

Maka, apa yang ditulis disini hanya lah pada ilmu yang sedikit dan pandangan yang lemah. Andai ada kesilapan, dapatlah diberitahu dan diharap dapat kita mengambil manafaat. Insyallah.


No comments: