Monday, March 12

Mensyirikkan Allah


Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Mengasihani. Ucapan basmallah yang indah ini terdiri daripada isim(kata nama) dan hurf(huruf) tanpa fe'al(kata perbuatan). Tiadanya fe'al disini adalah hikmah Allah yang Maha Besar. Tiada fe'al disini adalah keadilan dan lemah lembutnya Allah kepada makhluknya. Namun, tetap manusia itu didalam kezaliman dan menduakan Allah pada perbuatan mereka.

Menduakan (syirik) pada Allah pada zahirnya ialah menyengutukan Allah dengan sesuatu yang lain. Maha suci Allah yang tiada suatu pun yang dapat menandingi Allah, pada nama, zat atau perbuatan Allah. Namun, atas kebodohan manusia, manusia tetap menduakan Allah dengan harta. Ada yang menduakan Allah dengan pangkat. Ada yang menduakan Allah dengan nafsu. Ada yang menduakan Allah dengan ilmu. Ada manusia yang menduakan Allah dengan kerjaya. Semuanya bermula dengan zhulmah(gelapnya hati) kerana dosa.

Menjadi hamba Allah bererti mengaku Allah sebagai Tuan hamba. Mengaku sebagai hamba bererti mengakui segalanya daripada Allah. Mengakui segala harta Allah dengan sanggup melepaskan segala pada tangan kita dan mengembalikannya kepada Allah. Andai berlaku suatu pandangan pada mata hati kita, maka ia adalah menipu, walaupun ianya bersandarkan pada ilmu dan dalil, akal atau wahyu, kerana pandangan kita terlampau banyak tipu daya syaitan dan nafsu. Bohong kerana kita melihat dengan gelapnya malam pada hati kita.
Yang benar hanya lah pandangan Allah. Andai pandangan Allah tidak menjadi pandangan kita, maka janganlah kata kita ini benar. Andai pandangan Allah tidak menjadi pandangan kita, maka janganlah menghukum orang lain.

Tapi didalam zhulmah ini, masih ada lagi kebenaran, iaitu hati kita ini hitam walau kita tenang. Hati ini berdosa. Beristigfar hanyalah memahat gunung dosa yang tak pernah habis. Semoga kita tetap didalam zikruallah semata-mata kerana taat. Tidak ada daya menolak kejahilan ini, tiada kekuatan berbuat taat, kecuali dengan Allah, nama zat yang Maha sempurna.

Berbuatlah taat, maka ia baik untuk kita. Bertaubatlah pada dosa, maka ia baik untuk kita. Beribadah lah supaya dapat kita mengenal Allah. Bermulalah dengan mencari ilmu, dengan ikhlas kerana Allah semata-mata, tanpa mengharapkan balasan yang lain. wallahua'lam.